Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2009

Saya sekeluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua rakan-rakan seperjuangan. Adalah diharapkan tahun 2009 dipenuhi dengan usaha-usaha yang lebih bermakna dalam kita mendidik generasi baru.

Sekian

Sunday, December 28, 2008

PELAJAR IPT DAN KESUKARELAWANAN

1.Saya baru sahaja mengikuti satu program mengenai kesukarelawanan. Program ini diadakan pada 25 hingga 27 Disember 2008 yang lalu bertempat di Kem Perah, FRIM. Mengikut kebiasaan di hujung-hujung tahun sebegini saya dan sekeluarga selalunya akan mengambil peluang untuk bercuti panjang memandangkan cuti tahunan pun masih ada lagi. Tambahan pula, telah menjadi polisi organisasi yang mana cuti tak boleh dibawa ke tahun hadapan. Mahu atau pun tidak kena habiskan cuti juga.

2.Tapi kali ini, mungkin disebabkan kerisauan akan kesan-kesan kegawatan ekonomi, membuatkan saya terpikir untuk lebih berjimat pada tahun ini, bak nasihat orang lama-lama ‘sediakan payung sebelum hujan’. Akhirnya membuatkan saya lebih suka menghabiskan masa di Kuala Lumpur sahaja.

3.Berbalik kepada program kesukarelawanan ini, saya sebenarnya kagum dengan sikap dan semangat sebahagian pelajar yang sedang menuntut di IPT tempatan, pelajar IPT yang saya maksudkan kali ini ialah penuntut dari Kolej Sultanah Bahiyah, Universiti Malaya. Mereka ini acap kali menganjurkan program untuk anak-anak yatim dan kali ini mereka bercadang untuk menganjurkan program yang sama untuk kali ke 12. Ini merupakan satu kejayaan sebenarnya, jarang sekali saya lihat sesuatu program itu dijadikan sebagai program tradisi dan boleh mencapai umur 12 tahun. Satu pencapaian yang hebat. Lebih membanggakan lagi, terdapat juga pelajar senior dan bekas pelajar yang tinggal di kolej yang sama masih memberikan sokongan penuh mereka.

3. Kekaguman saya ini dirasakan bertempat juga kerana jika dikirakan peratus atau lebih tepat lagi nisbah para pelajar yang ingin menjayakan program sebegini sebenarnya amatlah kurang jika dibandingkan mereka yang tinggal di kolej yang sama adalah agak tinggi jumlahnya. Sebahagian besar dari mereka lebih mengutamakan pengajian mereka dengan mengelakkan diri dari menyertai mana-mana program yang boleh menganggu masa pengajian mereka. Hendak dikatakan mereka salah berbuat demikian sememangnya tidak adil dan tidak boleh saya pertikaikan, Ya memang benar jika mereka aktif melakukan kerja-kerja lain selain memberikan keutamaan pada pengajiaan mereka, sudah tentu ia menganggu, sebab merekalah yang akan menanggungnya jika mereka gagal dalam pengajian dan bukannya orang lain.

4.Namun begitu saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca semua, seorang sahabat yang sering melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawanan semasa di IPT, beliau pernah berbincang bersama mengenai hal ini, katanya dalam perjalanan kematangan seseorang dalam melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawanan ini, mereka akan melalui 3 fasa atau cabaran utama.

5.Cabaran yang pertama ialah semasa pelajar itu menuntut di IPT, ini bagi mereka yang berjaya masuk ke IPT lah, bagaimana mereka membahagikan masa untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang pelajar IPT yang mana mereka perlu menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan serta mengulangkaji pelajaran.

6.Kedua, cabaran yang akan mereka hadapi apabila mereka telah berjaya memperolehi ijazah ataupun diploma dan mula memasuki dunia ataupun alam perkerjaan. Penglibatan mereka dalam kerja-kerja kebajikan sudah tentu menjadi cabaran hebat, kekangan tanggungjawab di pejabat dan masa untuk meneruskan kerja-kerja kesukerelawanan. Kebiasaannya seseorang itu akan mula mengurangkan dan ada meninggalkan terus kerja kesukarelawanan ini.

7.Dan yang terakhir cabaran ke 3, ialah apabila mereka memasuki alam berkeluarga. Selalunya inilah merupakan kata putus dalam penglibatan sesorang dalan kerja-kerja kesukarelawanan ini. Dengan lahirnya sebuah institusi keluarga banyak perkara yang boleh mengekang seseorang itu untuk terus melibatkan diri. Tanggungjawab kepada isteri, anak dan kerja merupakan cabaran terbesar. Lazimnya dalam cabaran ini, penglibatan sesorang itu akan berhenti terus, mereka tahu betapa pentingnya keterlibatan mereka tapi selalunya tumpuan akan diberikan terus dalam menguruskan keluarga. Ada yang cuba untuk terus melibatkan diri tetapi jumlahnya agak kecil.

8. Perkara ini saya sentuh, untuk kita fikirkan bersama kerana dalam kita menetapkan keutamaan dalam kehidupan yang kita bina untuk masa depan kita, perancangan masa depan anak-anak, keselesaaan diri dan keluarga yang kita bina dalam bentuk harta dan bermacam-macam lagi. Ada juga segmen-segmen dalam masyarakat kita yang tidak boleh melakukan seperti apa yang kita rancang untuk diri dan keluarga kita. Kegagalan mereka merancang dan melaksanakannya untuk meningkatkan status penghidupan diri dan keluarga mereka kepada lebih baik mungkin bukan disebabkan kekurangan diri mereka atau mungkin atas sebab faktor-faktor lain yang tidak boleh dielakkan. Tapi yang jelas mereka adalah golongan yang mesti kita hulurkan tangan dalam apa jua bentuk sekalipun. Mereka perlukan dokongan dan sokongan, halatuju yang jelas dan keyakinan diri yang mantap dan harapan yang bertempat, dalam konteks pelajar UM ini, kumpulan sasar mereka adalah adalah anak-anak yatim.

9.Jika pelajar itu berjaya menetapkan keutamaannya, penglibatan mereka dan kerja-kerja kebajikan ini merupakan nilai tambah pada diri pelajar itu sendiri. Pembentukan perwatakan lebih baik lagi hasil kemahiran kemanusiaan yang mereka lalui dalam melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan ini membuatkan mereka menjadi pilihan dalam pemilihan untuk menjawat sesuatu jawatan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

10.Hakikatnya, lebih ramai masyarakat yang melibatkan diri didalam kerja-kerja kesukarelawanan ini adalah lebih baik, sebab masih ramai lagi yang memerlukan. Saya percaya dan yakin ramai lagi pelajar-pelajar IPT di luar sana yang mempunyai semangat dan keinginan seperti penuntut di Kolej Sultanah Bahiyah Universiti Malaya. Ada juga yang sememang telah pun bergerak dan melakukan program berfaedah semasa di IPT, tetapi yang pasti kita perlukan lebih ramai lagi. Golongan sebegini sebenar boleh dibilang dengan jari. Cuba kita bayangkan dari 26 juta rakyat di Malaysia hanya sekelumit sahaja yang melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan ini. Banyak lagi segmen dalam masyarakat yang memerlukan manusia yang begelar sukarelawan ini. Hendak berharap pihak berwajib sahaja amatlah tidak bijak jika orang yang perlu dibantu itu berada di depan mata.

11.Tahniah, para sukarelawan.

Tuesday, December 16, 2008

'QUALITY TIME'

Telah menjadi amalan kami sekeluarga, jika tidak sibuk pada hujung minggu dengan program kemasyarakatan ataupun tugas-tugas, tidak boleh tidak, kami akan pergi ‘hiking’ di Bukit FRIM. Setakat ini itulah salah satu cara kami sekeluarga menjalani masa kualiti ‘quality time’ sambil beriadah memanjat bukit yang hampir 1000 kaki, dapatlah kami sama-sama berbual hal-hal keluarga yang ringan-ringan belaka. Hal anak dalam kelas pun sampai sejam tak selesai nak cerita .... apa berlaku di sekolah, cikgu mana yang best, makan apa sedap, kantin mana layanan yang bagus ....saja nak hilang rasa penat.

Sedar-sedar 2 jam dah berlalu, destinasi dah sampai badan pun rasa segar. Ini semuanya sekadar nak memupuk keakraban di antara satu sama lain walaupun kami tidur serumah makan semeja, toilet kongsi-kongsi. Amalan ini diajar oleh ayahanda yang masa adanya dahulu ... kalau tak ada hal penting ...mesti kami adik beradik lelaki diajak pergi memancing bersama-sama. Saya yang bertugas di Kuantan, Pahang pun dipanggil pulang jika tidak sibuk... Bukan pasal nak dapat ikan pun..dapat ikan ke tidak sememang tidak menjadi hal sangat .., saya pun naik hairan ... apa tidaknya pergi memancing sampai ke Raub dan Lipis Pahang... saya yang baru balik Kuantan hari Sabtu petang, pagi-pagi Ahad di ajak terus ke Raub, petang... balik Gombak... malamnya terus balik Kuantan kekadang pukul 3 pagi baru sampai, esok Isnin terus out station kerja pulak dari Kuantan ke Raub balik ... tak ke gila ...

Tapi bila memikirkan ajakan orang tua saya ni dan masa berbual dengannya ketika memancing, bercerita pengalaman lama beliau memancing dan macam-macam lagi ..... hatta seribu kali pun saya akan kata masih tak cukup... itulah kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Sekarang setelah hampir 10 tahun beliau pergi ... pergi memancing saya tukar kepada pergi hiking maklumlah anak sendiri bila pegang umpan pun takut ini kan pula nak dibawa masuk ke dalam hutan untuk memancing. Nanti ikan entah kemana dia entah ke mana... walau apapun inilah masa kualiti saya bersama keluarga saya. Jika terlepas sekali memanglah amat merugikan dan masa sememangnya bukan di pihak kita,... gunakannya sebaik mungkin ... pastikan ia tidak disia-siakan..

Saya tersentak bila seorang berbangsa India menegur saya, katanya dalam ramai-ramai orang yang beriadah di Bukit FRIM kami adalah segelintir orang yang berbangsa Melayu yang beliau jumpa. Sempat juga beliau berkata orang Melayu ini sekarang suka kepada hiburan saja ...tengoklah karnival hiburan jom .... He.... katanya, kalau pergi beriadah dan menjalani aktiviti yang sihat teramatlah kurang...betul juga katanya bila dilihat dalam seramai-ramai yang ada di Bukit FRIM hari itu adalah sekelumit orang Melayu.

Macam mana agaknya masa kualiti sesebuah keluarga.. sekarang, yang kaya bolehlah melancong keluar atau dalam negeri, yang sederhana mungkin macam saya... tapi macam mana yang miskin sampai nak makan pun kadang-kadang tak cukup .... ini kan pula nak pergi bercuti ... sebab kalau bercuti kosonglah pinggan.

Monday, December 15, 2008

PERUBAHAN

Kebelakangan ini, mungkin disebabkan saya rasa bosan atau lebih tepat lagi rasa meluat membaca dan mendengar isu-isu semasa yang amat menjengkelkan, ataupun sengaja menyibukkan diri dengan hal-hal kerja dengan harapan saya lupa atau terlepas pandang kepada permasalahan yang kita hadapi dalam negara sekarang ini. ...Alasan semata-mata...

Saya sebenarnya berjanji kepada diri saya apabila nak menulis blog nanti saya akan cuba mengelak dari menulis isu-isu berkenaan politik. Kawan-kawan yang rapat sering bertanya, mengapa uncle tulis cerita yang ringan sahaja, apasal tak komen dengan isu yang melanda negara sekarang ini. Jawapannya mudah bagi saya lebih banyak tenaga yang ditumpukan kepada politik maka kuranglah usaha-usaha yang dibuat ke arah kerja-kerja yang boleh memberikan kesan dan manfaat kepada masyarakat. Lagi pun siapa saya yang hendak memperkata hal-hal ini, saya bukannya orang penting, jawatan yang paling tinggi pun dalam parti ialah pemeriksa kira-kira, itu pun setelah diugut nak dihumban ke Sungai Gombak jika saya menolak. .... Saya hanya ada satu kertas undi sahaja.

Pemilihan baru-baru ini di peringkat cawangan, pada saya amat menjengkelkan hati... saya teramatlah hairan mengapa orang berebut-rebut nak memegang jawatan... sekali pun mereka tahu mereka tak layak memegang jawatan ... manakala yang mampu pula tak mahu berjawatan. Kalau ikut hati yang nakal ni nak saje saya pekena mereka ini. tapi apakan daya ...tahun pemilihan mana hal -halperjuangan akan diambil kira ...yang penting mesti menang, untuk apa menawarkan diri tidak penting sebab ..banyak untung jika menang.... persoalannya untung untuk siapa?

Namun begitu, sebagai seorang yang sentiasa cuba berfikiran positif, kita kena beri peluang kepada kepimpinan baru ini... walaupun di dalam hati dah macam tahu apa yang akan berlaku kalau si anu tu menang. ..... Tetapi di peringkat cawangan ini tidaklah risau sangat berbanding di atas sana... di cawangan masa menang kawan-kawan yang menyokong nampaknya terjerik dan ada yang menari melihat calonnya menang. ‘Perubahan ... kami mahu perubahan’ seronoknya..... tak sampai beberapa bulan selesai saja pemilihan di bahagian ... semuanya senyap sunyi.... macam dulu balik rupa-rupanya perjuangan mereka sampai titik noktah apabila selesai permilihan di Bahagian.

Pendirian yang sama saya pegang masa peralihan kempimpinan negara dahulu ... perlunya perubahan walaupun di dalam hati teramatlah risaunya. Perubahan amatlah baik jika kita tahu di mana perlu diubah dan untuk apa kita berubah.... kalau sekadar nak menghilangkan legasi kepimpinan dahulu dan setakat nak ubah cogan kata baik dan hebat bunyinya .... tidak payah berubah... sudah tentu tidak kena..... perubahan mesti diambil kira dan difikir semasak-masaknya... apakah kita ini layak dan setanding kepimpinan dahulu atau sebaliknya. ukurlah baju di badan sendiri... Seorang kenalan yang mepunyai pertalian persaudaran dengan isteri saya teramatlah marah bila saya berkata saya tak mempunyai Perdana Menteri ... setahun selepas peralihan kuasa dulu. walaupun menang besar PRU. Tengah geramlah masa tu... kerana keputusan separuh masak dan tindakan yang amat tidak bijak telah menjadi amalan.

Akhirnya, PRU ke12, membuktikan kerisauan saya memang bertempat...

Persoalannya... rakyat mahu perubahan ataupun ini lah kesan kepimpinan yang separuh masak........

bersambung.

Thursday, October 23, 2008

SERONOKNYA BERHARI RAYA.

Rasanya dah lama sangat saya tak menulis, nak dikatakan seronok berhari raya …. Ya jugak … sebab dah masuk minggu keempat jemputan rumah terbuka masih ada lagi…. satu hari sampai empat jemputan nak kena pergi... dah naik senak perut ... tak boleh nak isi.... . Tapi kena isi juga .. takut kawan ambil hati datang beraya tapi tak makan.

Agaknya sebab terlampau banyak sangat makan …mungkin dah tak boleh nak fikir banyak-banyak… otak mungkin dah lembab sebab banyak oksigen tak sampai ke otak tapi pergi ke perut nak proses kabohidrat yang banyak…. kawan-kawan dari negara luar yang beragama Islam mungkin hairan bila lihat orang Malaysia berhari raya … di negara mereka orang berhari raya sehari aje …. tapi di Malaysia … 30 hari bulan Syawal ...30 hari lah beraya dan seingat saya tahun lepas ada kawan-kawan yang telajak ke bulan Zulkaedah… geli hati pulak saya…. tu belum lagi masuk agensi kerajaan dan swasta ... tak nak ketinggalan berhari raya sama...

Dalam seronok berhari raya ini ... kelihatan jelas UNIKnya Malaysia ini ... Melayu, Cina dan India sama- sama berhari raya, gelak ketawa, makan sama-sama... tak menang tangan tuan rumah nak layan.

Kenapalah agaknya bila ada rumah terbuka baru nampak jelas rakyat Malaysia menghayati perpaduan .....

BEZA sangat dengan keadaan politik sekarang kan!

Monday, September 29, 2008

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Saya sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Puasa kepada semua kenalan saya. Terutamanya rakan sekerja, teman seperjuangan, para sukarelawan dan anak-anak yang mengenali saya.

Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hatilah agar selamat pula pulang ke kota.

Sekian, Salam Hari Raya

Salehhuddin Osman
UNCLE

SINONIMNYA RAMADHAN DAN ANAK-ANAK YATIM – 2


Ramadhan bakal berlalu, rasanya sudah tentu ada anak-anak yatim sedih dan terharu kerana mengikut perkiraan dan ingatan mereka, sudah menjadi amalan dan kebiasaan sebahagian besar masyarakat Malaysia semua lapisan, golongan yang bernama anak-anak yatim ini hanya akan diraikan dan diingati untuk satu bulan sahaja iaitu bulan ramadhan. Sudah tentu juga, ada antara mereka yang berdoa kepada yang esa agar bulan ramadhan dijadikan 12 bulan dalam setahun

Apabila tiba Syawal, mungkin ada yang masih menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bersama-sama mereka tetapi tidaklah sehebat bulan Ramadhan yang lalu. Akhirnya setelah keseronokan dan kegembiraan berhari raya padam, mereka akan kembali kepada kehidupan biasa mereka, kembali ke rumah anak-anak yatim yang mereka duduki, pergi ke sekolah sebaik tamat percutian seterusnya mengharungi hari-hari sebagaimana tahun-tahun terdahulu dengan harapan Ramadhan tahun hadapan cepatllah tiba.

Di waktu itu, tidak ramai lagi masyarakat dan korporat penyayang ini yang berebut-rebut menganjurkan program untuk anak-anak yatim ini. Kenapa? dan mengapa? tujuan mereka meraikan anak-anak yatim pada bulan Ramadhan tidak dapat kita nilaikan keikhlasannya, kerana ada yang menganjurkan majlis ini sememang ikhlas tetapi ada juga yang bersikap sebaliknya, mungkin hanya sekadar publisti meluas yang diperolehi atau sekadar menunaikan tanggungjawab program CSR (corporate social responsibility) seperti yang dikehendaki kerajaan. Hanya tuhan sahaja yang tahu.

Walaubagaimana pun, tahniah dan penghargaan perlu juga diucapkan kepada mereka tidak kira apa sekalipun alasan mereka dalam menganjurkan program ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya mereka sanggup menyumbang tenaga, masa dan juga wang ringgit hanya untuk mengembirakan anak-anak yatim ini, jika dibandingkan dengan mereka yang hanya tahu bercakap dan berceramah akan kepentingan dan banyaknya pahala jika kita membantu golongan anak-anak ini.

Persoalannya sekarang ialah, cukup sudahkah sumbangan yang kita mainkan jika kita hanya mengingati anak-anak yatim ini di bulan Ramadhan sahaja? Selesaikah tanggungjawab sosial kita jika melimpahkan anak-anak yatim ini dengan wang ringgit, kebendaan dan hiburan? Mengapa anak-anak yatim yang tinggal di rumah anak-anak yatim sahaja yang menjadi keutamaan dalam majlis-majlis keraian. Dan akhir sekali apakah kesannya kepada anak-anak yatim ini dengan semua sumbangan dan limpahan kegembiraan yang diberikan oleh masyarakat penyayang ini selain dari seronok semata-mata.

Permasalahan anak-anak yatim ini semestinya dilihat dan ditangani dari aspek yang lebih luas lagi. Mereka tidak semestinya dilihat sebagai pelengkap tarikh di dalam bulan Ramadhan. Apa sahaja alasannya sekali pun anak-anak yatim ini adalah seorang manusia dan dalam kita membantu mereka dengan menghulurkan pelbagai sumbangan kepada mereka, sumbangan dan bantuan mestilah jelas matlamat dan objektifnya. Kalau sekadar mengembirakan mereka dengan hiburan dan kemewahan ini hanya sumbangan berbentuk sementara dan ad hoc sahaja. Sudah pasti ini tidak mencukupi.


Permasalahan anak-anak yatim di Malaysia ini, tidaklah sama dengan anak-anak yatim di luar negara, anak-anak yatim di Acheh amat memerlukan rumah perlindungan dan kaunseling kesan trauma yang berlaku, anak-anak yatim di Afrika amat memerlukan makanan bagi mengelakkan kebuluran, begitu juga di negara-negara lain. Tetapi di Malaysia, anak-anak yatim tiada yang tidak makan hingga sampai ke tahap kebuluran, tiada yang tidak berbaju dan tiada yang merempat tidur di tepi-tepi jalan. Kalau ada pun mungkin sangat rendah peratusnya dan jika berlaku lagi, ia adalah kegagalan pihak-pihak yang berwajib menjalankan tanggungjawab mereka bermula dari jawatankuasa kepimpinan kampung, masjid dan surau, pemimpin masyarakat sehinggalah ke agensi-agensi kerajaan.

Amalan serta pendekatan hanya mengembirakan anak-anak ini dengan hiburan, kebendaan dan wang ringgit sudah tidak lagi boleh dipraktikkan. Berani diperkatakan amalan ini sebenarnya lebih membawa kesan yang negatif dari positif. Contohnya, semua pemberian ini seolah-olah memberi gambaran kepada anak-anak yatim bahawa hidup adalah mudah segalanya akan diberikan oleh sesiapa sahaja. Tidak perlu berusaha. Kesan-kesan dari program yang berbentuk keraian dan majlis ini akan dibincangkan dalam topik yang akan datang.

Dan lagi satu fakta penting yang sering kita lupakan, tidak semua anak-anak yatim yang ada di Malaysia ini tinggal di rumah-rumah anak yatim,? Tidak hairanlah kenapa rumah-rumah anak-anak yatim sentiasa penuh dengan undangan di bulan Ramadhan, kerana kita rakyat Malaysia masih beranggapan anak-anak yatim hanya ada di rumah anak-anak yatim. Untuk makluman, tidak sampai 2% dari jumlah anak-anak yatim di Malaysia tinggal di rumah anak-anak yatim, selebihnya di mana? Di mana lagi kalau bukan di rumah masing-masing bersama ibu atau ayah, ada yang tinggal di rumah pakcik, makcik, datuk dan nenek, ada yang bersama abang dan kakak yang telah berkerja dan mampu menanggung adik-adik mereka ataupun bersama saudara mara yang berpegang kepada amanah dan tanggungjawab menjaga anak-anak ini tidak harus dilepaskan kepada rumah anak-anak yatim kecualilah jika terpaksa.

Pernahkah kita terpikir perasaan mereka sewaktu mereka terlihat di dada akhbar dan di kaca televisyen bagaimana anak-anak di rumah anak-anak yatim sering kali di raikan tetapi mereka tidak. Jika diikutkan status mereka pun anak-anak yatim juga. Apakah masyarakat Malaysia tidak tahu ataupun masih kabur? amatlah sukar untuk difahami atau pun mungkin lebih mudah jika kita hanya beranggapan hanya perlu melibatkan anak-anak yatim di rumah sahaja, cari sahaja rumah anak yatim maka adalah anak yatim, tidak payah cari di tempat lain. Mudah segalanya dari segi penganjuran dan urusan.

Masyarakat di Malaysia dari semua lapisan terlebih dahulu perlu memahami apa sebenarnya permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak yatim di Malaysia, sebelum kita berhajat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Fahamilah mereka.

Seperti yang telah dimaklumkan awal tadi, permasalahan anak-anak yatim di Malaysia bukan berbentuk keperluan fizikal lagi, takrifnya anak-anak yatim pun masih belum diperjelaskan dan boleh dipertikaikan lagi, kenapa tumpuan hanya diberikan kepada anak-anak yang Islam sahaja, bagaimana anak-anak yatim bangsa lain, Cina dan India?

Sebagai sebuah negara maju di kalangan negara-negara membangun pendekatan kita mestilah lebih jelas dan bermakna. Setelah kita benar-benar memahami, barulah kita tahu apa sebenarnya yang mereka perlukan.

Samb. – tajuk lain

Thursday, September 25, 2008

OPS SIKAP 17

BERNAMA, KUALA LUMPUR

Ops Sikap XVII that began yesterday saw 15 deaths arising from 14 fatal accidents nationwide. Bukit Aman public relations officer, Supt. Rasdi Ramli, said as usual motorcyclists represented the highest number of deaths with nine fatalities, car drivers (four) and pedestrians (two). “On the first day of Ops Sikap XVII there were 1,051 accidents,” he said in a statement today. Rasdi said federal and state roads recorded the highest deaths at six each followed by highways (two) and town road (one). The number of summonses issued stood at 9,802. Ops Sikap XVII that will run till Oct 8 is intended to prevent road accidents during the Hari Raya festivites.


Uncle : Ops Sikap 17 (Cuti Hari Raya)
Ops Sikap dah bermula dan seperti laporan Bernama di atas, 15 kematian di hari yang pertama. Nampaknya tiada perbezaan walaupun setelah 17 kali ops sikap dijalankan rakyat Malaysia masih lagi tidak faham, bila PDRM buat Ops sikap, maksudnya masa tu tolonglah !!!! Pengguna jalanraya berhati-hati "ganda dua". Seperti biasalah yang paling banyak menyebabkan anak-anak yatim dan ibu tunggal bertambah serta ibubapa tidak kering air mata ialah pengguna jalanraya yang naik motor.

Patut juga dicadangkan agar mungkin 'Ops Sikap' ini ditukar nama kepada ''Ops Elak Kematian", memanglah kita tidak boleh elak kematian tapi sekurang-kurangnya janganlah dijemput dan mengalu-alukan kematian supaya datang cepat.

Sila rujuk http://www.rmp.gov.my/

Tuesday, September 23, 2008

SINONIMNYA RAMADHAN DAN ANAK-ANAK YATIM - 1

Terpapar sudah di muka depan dan sisipan akbar-akhbar arus perdana program dan majlis-majlis khas meraikan anak-anak yatim dan juga miskin. Begitulah juga media elektronik acap kali disiarkan majlis keraian yang melibatkan anak-anak yatim.

Boleh dikatakan hampir setiap hari bermula awal di bulan Ramadhan sehingga kini kelihatan anak-anak yatim ini diraikan oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira para pembesar negara, para artis yang popular, agensi–agensi kerajaan, apatah lagi badan-badan korporat dan swasta dan tidak lupa juga IPTA dan IPTS. Masjid-masjid dan surau-surau yang berkemampuan juga tidak mahu ketinggalan.

Ini belum pula lokasi majlis, ada di hotel-hotel yang bertaraf sehingga lima bintang, restoran mewah. Kalau yang kurang bajetnya, di dewan-dewan orang ramai dan masjid pun ada, asalkan majlis boleh berlangsung … cukuplah.

Diyakini juga program dan majlis ini telah dirancang dengan begitu rapi sekali. Ada yang dirancang berbulan lebih awal hanya untuk menjanjikan bulan Ramadhan ini mereka tidak ketinggalan. Organisasi yang lewat mungkin tidak dapat mengadakan majlis ini kalau tak percaya tanyalah organisasi yang lewat ini. Maklumlah ada tiga puluh hari sahaja di bulan Ramadhan. Rumah-rumah anak yatim boleh dikatakan “Full House” sama pula macam panggung wayang yang menayangkan cerita ‘box office’.

Semuanya, boleh dikatakan berebut-rebut menganjurkan program untuk meraikan anak-anak yatim ini. Mereka diraikan dengan makanan yang enak-enak dan lazat, dicurahkan dengan pakaian dan kasut untuk menyambut Hari Raya yang bakal menjelang, ada yang dapat sampai 15 pasang baju melayu dan kasut, cukup sampai Hari Raya yang ke 15.

Dan tidak lupa yang paling penting duit hari raya yang kadang-kadang mencapai ratusan ringgit. Ada juga yang dihiburkan dengan nyanyian nasyid dan para pelawak yang mencuit hati, dengan harapan anak-anak ini berasa seronok dan gembira sekurang-kurangnya di bulan puasa ini.

Dengar cerita ada juga anak-anak yatim yang duduk di rumah anak yatim ini sampai 30 hari berbuka di luar.

Sekali pandang, hebat sungguh rakyat Malaysia ini, cukup perihatin dengan nasib yang menimpa anak-anak yatim ini, …sungguhlah tercapai jugalah keinginan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai Masyarakat Penyayang, pemimpin yang perihatin, badan koporat yang sentiasa menunaikan menunaikan tanggungjawab sosialnya.

Tetapi jika dua kali pandang macam ada yang tak kena…. Nak dikatakan salah meraikan anak-anak ini tak boleh pula, marah pula nanti Alim Ulamak dan mereka yang bersusah payah menganjurkan Majlis ini. Bermacam akan dikatakan antaranya ikut hukumlah dan ada pula nanti yang berkata … duit mereka, bajet mereka …. ikut suka merekalah, kamu tak kasihan ke pada anak-anak ini?? Macam mana nak jawab pulak. Betullah kata mereka.



Kalau tiga kali pandang pulak … memang sah ada yang tak kena…Ya lah.. contohnya bulan puasa ini 30 hari sahajakan, setahun ada 365 hari maksudnya ada 335 hari lagi…. Anak-anak yatim ini buat apa pulak. Tak nampak cerita pun di akhbar-ahkbar dan media elektronik tempatan macam bulan Ramadhan. Kalau ada pun … nun tersorok di mana-mana sampai susah nak baca …. sebab tak jumpa.

Ada ke tidak program atau majlis yang lain dari majlis meraikan dan sumbangan untuk anak-anak yatim ni?

Ada ke pula program dan majlis yang lain dari berbuka puasa untuk anak-anak yatim ini.?

Hairan juga, mana perginya semua masyarakat penyayang, pemimpin berjiwa rakyat, korporat yang perihatin tadi….yang berebut-rebut menganjurkan program untuk anak yatim ini.

Kalau tolong dan bantu anak-anak yatim selain dari bulan ramadhan tak dapat pahala kot…..


Samb…

Monday, September 22, 2008

SALAM PENGENALAN

1. Selamat datang ke blog saya, blog ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan pendapat antara satu sama lain. Tuan-tuan dan puan-puan sudah tentu boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan sebarang atikel dan tulisan yang diletakkan dalam blog ini. Perbincangan sihat mengenai idea dan pandangan amatlah dialu-alukan.

2. Sedikit pengenalan mengenai diri saya, lebih dikenali dengan gelaran UNCLE dikalangan teman-teman sekerja, para pelajar dan masyarakat setempat. Gelaran ini pun digunakan sebagai menghormati sahabat dan guru saya yang banyak mendidik saya dalam hal-hal mengenai pembangunan manusia dan pelajar. Mungkin ia tambah sesuai dengan keadaan fizikal rambut saya yang kelihatan tua sebelum waktunya.

3. Jika dirujuk pengalaman saya mengenai blog, sudah tentu amatlah kurang, namun ia bermula juga dengan nasihat dan pandangan serta cabaran kawan-kawan agar saya merakamkan pengalaman dan pandangan takkala masih berkhidmat untuk dikongsi bersama.

4. Saya berharap dapat belajar dari semua blogger yang singgah di blog ini sebagai salah satu usaha untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi pengetahuan.

Sekian, selamat datang dan jumpa lagi