Monday, September 29, 2008

SINONIMNYA RAMADHAN DAN ANAK-ANAK YATIM – 2


Ramadhan bakal berlalu, rasanya sudah tentu ada anak-anak yatim sedih dan terharu kerana mengikut perkiraan dan ingatan mereka, sudah menjadi amalan dan kebiasaan sebahagian besar masyarakat Malaysia semua lapisan, golongan yang bernama anak-anak yatim ini hanya akan diraikan dan diingati untuk satu bulan sahaja iaitu bulan ramadhan. Sudah tentu juga, ada antara mereka yang berdoa kepada yang esa agar bulan ramadhan dijadikan 12 bulan dalam setahun

Apabila tiba Syawal, mungkin ada yang masih menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bersama-sama mereka tetapi tidaklah sehebat bulan Ramadhan yang lalu. Akhirnya setelah keseronokan dan kegembiraan berhari raya padam, mereka akan kembali kepada kehidupan biasa mereka, kembali ke rumah anak-anak yatim yang mereka duduki, pergi ke sekolah sebaik tamat percutian seterusnya mengharungi hari-hari sebagaimana tahun-tahun terdahulu dengan harapan Ramadhan tahun hadapan cepatllah tiba.

Di waktu itu, tidak ramai lagi masyarakat dan korporat penyayang ini yang berebut-rebut menganjurkan program untuk anak-anak yatim ini. Kenapa? dan mengapa? tujuan mereka meraikan anak-anak yatim pada bulan Ramadhan tidak dapat kita nilaikan keikhlasannya, kerana ada yang menganjurkan majlis ini sememang ikhlas tetapi ada juga yang bersikap sebaliknya, mungkin hanya sekadar publisti meluas yang diperolehi atau sekadar menunaikan tanggungjawab program CSR (corporate social responsibility) seperti yang dikehendaki kerajaan. Hanya tuhan sahaja yang tahu.

Walaubagaimana pun, tahniah dan penghargaan perlu juga diucapkan kepada mereka tidak kira apa sekalipun alasan mereka dalam menganjurkan program ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya mereka sanggup menyumbang tenaga, masa dan juga wang ringgit hanya untuk mengembirakan anak-anak yatim ini, jika dibandingkan dengan mereka yang hanya tahu bercakap dan berceramah akan kepentingan dan banyaknya pahala jika kita membantu golongan anak-anak ini.

Persoalannya sekarang ialah, cukup sudahkah sumbangan yang kita mainkan jika kita hanya mengingati anak-anak yatim ini di bulan Ramadhan sahaja? Selesaikah tanggungjawab sosial kita jika melimpahkan anak-anak yatim ini dengan wang ringgit, kebendaan dan hiburan? Mengapa anak-anak yatim yang tinggal di rumah anak-anak yatim sahaja yang menjadi keutamaan dalam majlis-majlis keraian. Dan akhir sekali apakah kesannya kepada anak-anak yatim ini dengan semua sumbangan dan limpahan kegembiraan yang diberikan oleh masyarakat penyayang ini selain dari seronok semata-mata.

Permasalahan anak-anak yatim ini semestinya dilihat dan ditangani dari aspek yang lebih luas lagi. Mereka tidak semestinya dilihat sebagai pelengkap tarikh di dalam bulan Ramadhan. Apa sahaja alasannya sekali pun anak-anak yatim ini adalah seorang manusia dan dalam kita membantu mereka dengan menghulurkan pelbagai sumbangan kepada mereka, sumbangan dan bantuan mestilah jelas matlamat dan objektifnya. Kalau sekadar mengembirakan mereka dengan hiburan dan kemewahan ini hanya sumbangan berbentuk sementara dan ad hoc sahaja. Sudah pasti ini tidak mencukupi.


Permasalahan anak-anak yatim di Malaysia ini, tidaklah sama dengan anak-anak yatim di luar negara, anak-anak yatim di Acheh amat memerlukan rumah perlindungan dan kaunseling kesan trauma yang berlaku, anak-anak yatim di Afrika amat memerlukan makanan bagi mengelakkan kebuluran, begitu juga di negara-negara lain. Tetapi di Malaysia, anak-anak yatim tiada yang tidak makan hingga sampai ke tahap kebuluran, tiada yang tidak berbaju dan tiada yang merempat tidur di tepi-tepi jalan. Kalau ada pun mungkin sangat rendah peratusnya dan jika berlaku lagi, ia adalah kegagalan pihak-pihak yang berwajib menjalankan tanggungjawab mereka bermula dari jawatankuasa kepimpinan kampung, masjid dan surau, pemimpin masyarakat sehinggalah ke agensi-agensi kerajaan.

Amalan serta pendekatan hanya mengembirakan anak-anak ini dengan hiburan, kebendaan dan wang ringgit sudah tidak lagi boleh dipraktikkan. Berani diperkatakan amalan ini sebenarnya lebih membawa kesan yang negatif dari positif. Contohnya, semua pemberian ini seolah-olah memberi gambaran kepada anak-anak yatim bahawa hidup adalah mudah segalanya akan diberikan oleh sesiapa sahaja. Tidak perlu berusaha. Kesan-kesan dari program yang berbentuk keraian dan majlis ini akan dibincangkan dalam topik yang akan datang.

Dan lagi satu fakta penting yang sering kita lupakan, tidak semua anak-anak yatim yang ada di Malaysia ini tinggal di rumah-rumah anak yatim,? Tidak hairanlah kenapa rumah-rumah anak-anak yatim sentiasa penuh dengan undangan di bulan Ramadhan, kerana kita rakyat Malaysia masih beranggapan anak-anak yatim hanya ada di rumah anak-anak yatim. Untuk makluman, tidak sampai 2% dari jumlah anak-anak yatim di Malaysia tinggal di rumah anak-anak yatim, selebihnya di mana? Di mana lagi kalau bukan di rumah masing-masing bersama ibu atau ayah, ada yang tinggal di rumah pakcik, makcik, datuk dan nenek, ada yang bersama abang dan kakak yang telah berkerja dan mampu menanggung adik-adik mereka ataupun bersama saudara mara yang berpegang kepada amanah dan tanggungjawab menjaga anak-anak ini tidak harus dilepaskan kepada rumah anak-anak yatim kecualilah jika terpaksa.

Pernahkah kita terpikir perasaan mereka sewaktu mereka terlihat di dada akhbar dan di kaca televisyen bagaimana anak-anak di rumah anak-anak yatim sering kali di raikan tetapi mereka tidak. Jika diikutkan status mereka pun anak-anak yatim juga. Apakah masyarakat Malaysia tidak tahu ataupun masih kabur? amatlah sukar untuk difahami atau pun mungkin lebih mudah jika kita hanya beranggapan hanya perlu melibatkan anak-anak yatim di rumah sahaja, cari sahaja rumah anak yatim maka adalah anak yatim, tidak payah cari di tempat lain. Mudah segalanya dari segi penganjuran dan urusan.

Masyarakat di Malaysia dari semua lapisan terlebih dahulu perlu memahami apa sebenarnya permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak yatim di Malaysia, sebelum kita berhajat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Fahamilah mereka.

Seperti yang telah dimaklumkan awal tadi, permasalahan anak-anak yatim di Malaysia bukan berbentuk keperluan fizikal lagi, takrifnya anak-anak yatim pun masih belum diperjelaskan dan boleh dipertikaikan lagi, kenapa tumpuan hanya diberikan kepada anak-anak yang Islam sahaja, bagaimana anak-anak yatim bangsa lain, Cina dan India?

Sebagai sebuah negara maju di kalangan negara-negara membangun pendekatan kita mestilah lebih jelas dan bermakna. Setelah kita benar-benar memahami, barulah kita tahu apa sebenarnya yang mereka perlukan.

Samb. – tajuk lain

No comments: