Monday, September 29, 2008

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Saya sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Puasa kepada semua kenalan saya. Terutamanya rakan sekerja, teman seperjuangan, para sukarelawan dan anak-anak yang mengenali saya.

Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hatilah agar selamat pula pulang ke kota.

Sekian, Salam Hari Raya

Salehhuddin Osman
UNCLE

SINONIMNYA RAMADHAN DAN ANAK-ANAK YATIM – 2


Ramadhan bakal berlalu, rasanya sudah tentu ada anak-anak yatim sedih dan terharu kerana mengikut perkiraan dan ingatan mereka, sudah menjadi amalan dan kebiasaan sebahagian besar masyarakat Malaysia semua lapisan, golongan yang bernama anak-anak yatim ini hanya akan diraikan dan diingati untuk satu bulan sahaja iaitu bulan ramadhan. Sudah tentu juga, ada antara mereka yang berdoa kepada yang esa agar bulan ramadhan dijadikan 12 bulan dalam setahun

Apabila tiba Syawal, mungkin ada yang masih menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya bersama-sama mereka tetapi tidaklah sehebat bulan Ramadhan yang lalu. Akhirnya setelah keseronokan dan kegembiraan berhari raya padam, mereka akan kembali kepada kehidupan biasa mereka, kembali ke rumah anak-anak yatim yang mereka duduki, pergi ke sekolah sebaik tamat percutian seterusnya mengharungi hari-hari sebagaimana tahun-tahun terdahulu dengan harapan Ramadhan tahun hadapan cepatllah tiba.

Di waktu itu, tidak ramai lagi masyarakat dan korporat penyayang ini yang berebut-rebut menganjurkan program untuk anak-anak yatim ini. Kenapa? dan mengapa? tujuan mereka meraikan anak-anak yatim pada bulan Ramadhan tidak dapat kita nilaikan keikhlasannya, kerana ada yang menganjurkan majlis ini sememang ikhlas tetapi ada juga yang bersikap sebaliknya, mungkin hanya sekadar publisti meluas yang diperolehi atau sekadar menunaikan tanggungjawab program CSR (corporate social responsibility) seperti yang dikehendaki kerajaan. Hanya tuhan sahaja yang tahu.

Walaubagaimana pun, tahniah dan penghargaan perlu juga diucapkan kepada mereka tidak kira apa sekalipun alasan mereka dalam menganjurkan program ini terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya mereka sanggup menyumbang tenaga, masa dan juga wang ringgit hanya untuk mengembirakan anak-anak yatim ini, jika dibandingkan dengan mereka yang hanya tahu bercakap dan berceramah akan kepentingan dan banyaknya pahala jika kita membantu golongan anak-anak ini.

Persoalannya sekarang ialah, cukup sudahkah sumbangan yang kita mainkan jika kita hanya mengingati anak-anak yatim ini di bulan Ramadhan sahaja? Selesaikah tanggungjawab sosial kita jika melimpahkan anak-anak yatim ini dengan wang ringgit, kebendaan dan hiburan? Mengapa anak-anak yatim yang tinggal di rumah anak-anak yatim sahaja yang menjadi keutamaan dalam majlis-majlis keraian. Dan akhir sekali apakah kesannya kepada anak-anak yatim ini dengan semua sumbangan dan limpahan kegembiraan yang diberikan oleh masyarakat penyayang ini selain dari seronok semata-mata.

Permasalahan anak-anak yatim ini semestinya dilihat dan ditangani dari aspek yang lebih luas lagi. Mereka tidak semestinya dilihat sebagai pelengkap tarikh di dalam bulan Ramadhan. Apa sahaja alasannya sekali pun anak-anak yatim ini adalah seorang manusia dan dalam kita membantu mereka dengan menghulurkan pelbagai sumbangan kepada mereka, sumbangan dan bantuan mestilah jelas matlamat dan objektifnya. Kalau sekadar mengembirakan mereka dengan hiburan dan kemewahan ini hanya sumbangan berbentuk sementara dan ad hoc sahaja. Sudah pasti ini tidak mencukupi.


Permasalahan anak-anak yatim di Malaysia ini, tidaklah sama dengan anak-anak yatim di luar negara, anak-anak yatim di Acheh amat memerlukan rumah perlindungan dan kaunseling kesan trauma yang berlaku, anak-anak yatim di Afrika amat memerlukan makanan bagi mengelakkan kebuluran, begitu juga di negara-negara lain. Tetapi di Malaysia, anak-anak yatim tiada yang tidak makan hingga sampai ke tahap kebuluran, tiada yang tidak berbaju dan tiada yang merempat tidur di tepi-tepi jalan. Kalau ada pun mungkin sangat rendah peratusnya dan jika berlaku lagi, ia adalah kegagalan pihak-pihak yang berwajib menjalankan tanggungjawab mereka bermula dari jawatankuasa kepimpinan kampung, masjid dan surau, pemimpin masyarakat sehinggalah ke agensi-agensi kerajaan.

Amalan serta pendekatan hanya mengembirakan anak-anak ini dengan hiburan, kebendaan dan wang ringgit sudah tidak lagi boleh dipraktikkan. Berani diperkatakan amalan ini sebenarnya lebih membawa kesan yang negatif dari positif. Contohnya, semua pemberian ini seolah-olah memberi gambaran kepada anak-anak yatim bahawa hidup adalah mudah segalanya akan diberikan oleh sesiapa sahaja. Tidak perlu berusaha. Kesan-kesan dari program yang berbentuk keraian dan majlis ini akan dibincangkan dalam topik yang akan datang.

Dan lagi satu fakta penting yang sering kita lupakan, tidak semua anak-anak yatim yang ada di Malaysia ini tinggal di rumah-rumah anak yatim,? Tidak hairanlah kenapa rumah-rumah anak-anak yatim sentiasa penuh dengan undangan di bulan Ramadhan, kerana kita rakyat Malaysia masih beranggapan anak-anak yatim hanya ada di rumah anak-anak yatim. Untuk makluman, tidak sampai 2% dari jumlah anak-anak yatim di Malaysia tinggal di rumah anak-anak yatim, selebihnya di mana? Di mana lagi kalau bukan di rumah masing-masing bersama ibu atau ayah, ada yang tinggal di rumah pakcik, makcik, datuk dan nenek, ada yang bersama abang dan kakak yang telah berkerja dan mampu menanggung adik-adik mereka ataupun bersama saudara mara yang berpegang kepada amanah dan tanggungjawab menjaga anak-anak ini tidak harus dilepaskan kepada rumah anak-anak yatim kecualilah jika terpaksa.

Pernahkah kita terpikir perasaan mereka sewaktu mereka terlihat di dada akhbar dan di kaca televisyen bagaimana anak-anak di rumah anak-anak yatim sering kali di raikan tetapi mereka tidak. Jika diikutkan status mereka pun anak-anak yatim juga. Apakah masyarakat Malaysia tidak tahu ataupun masih kabur? amatlah sukar untuk difahami atau pun mungkin lebih mudah jika kita hanya beranggapan hanya perlu melibatkan anak-anak yatim di rumah sahaja, cari sahaja rumah anak yatim maka adalah anak yatim, tidak payah cari di tempat lain. Mudah segalanya dari segi penganjuran dan urusan.

Masyarakat di Malaysia dari semua lapisan terlebih dahulu perlu memahami apa sebenarnya permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak yatim di Malaysia, sebelum kita berhajat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Fahamilah mereka.

Seperti yang telah dimaklumkan awal tadi, permasalahan anak-anak yatim di Malaysia bukan berbentuk keperluan fizikal lagi, takrifnya anak-anak yatim pun masih belum diperjelaskan dan boleh dipertikaikan lagi, kenapa tumpuan hanya diberikan kepada anak-anak yang Islam sahaja, bagaimana anak-anak yatim bangsa lain, Cina dan India?

Sebagai sebuah negara maju di kalangan negara-negara membangun pendekatan kita mestilah lebih jelas dan bermakna. Setelah kita benar-benar memahami, barulah kita tahu apa sebenarnya yang mereka perlukan.

Samb. – tajuk lain

Thursday, September 25, 2008

OPS SIKAP 17

BERNAMA, KUALA LUMPUR

Ops Sikap XVII that began yesterday saw 15 deaths arising from 14 fatal accidents nationwide. Bukit Aman public relations officer, Supt. Rasdi Ramli, said as usual motorcyclists represented the highest number of deaths with nine fatalities, car drivers (four) and pedestrians (two). “On the first day of Ops Sikap XVII there were 1,051 accidents,” he said in a statement today. Rasdi said federal and state roads recorded the highest deaths at six each followed by highways (two) and town road (one). The number of summonses issued stood at 9,802. Ops Sikap XVII that will run till Oct 8 is intended to prevent road accidents during the Hari Raya festivites.


Uncle : Ops Sikap 17 (Cuti Hari Raya)
Ops Sikap dah bermula dan seperti laporan Bernama di atas, 15 kematian di hari yang pertama. Nampaknya tiada perbezaan walaupun setelah 17 kali ops sikap dijalankan rakyat Malaysia masih lagi tidak faham, bila PDRM buat Ops sikap, maksudnya masa tu tolonglah !!!! Pengguna jalanraya berhati-hati "ganda dua". Seperti biasalah yang paling banyak menyebabkan anak-anak yatim dan ibu tunggal bertambah serta ibubapa tidak kering air mata ialah pengguna jalanraya yang naik motor.

Patut juga dicadangkan agar mungkin 'Ops Sikap' ini ditukar nama kepada ''Ops Elak Kematian", memanglah kita tidak boleh elak kematian tapi sekurang-kurangnya janganlah dijemput dan mengalu-alukan kematian supaya datang cepat.

Sila rujuk http://www.rmp.gov.my/

Tuesday, September 23, 2008

SINONIMNYA RAMADHAN DAN ANAK-ANAK YATIM - 1

Terpapar sudah di muka depan dan sisipan akbar-akhbar arus perdana program dan majlis-majlis khas meraikan anak-anak yatim dan juga miskin. Begitulah juga media elektronik acap kali disiarkan majlis keraian yang melibatkan anak-anak yatim.

Boleh dikatakan hampir setiap hari bermula awal di bulan Ramadhan sehingga kini kelihatan anak-anak yatim ini diraikan oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira para pembesar negara, para artis yang popular, agensi–agensi kerajaan, apatah lagi badan-badan korporat dan swasta dan tidak lupa juga IPTA dan IPTS. Masjid-masjid dan surau-surau yang berkemampuan juga tidak mahu ketinggalan.

Ini belum pula lokasi majlis, ada di hotel-hotel yang bertaraf sehingga lima bintang, restoran mewah. Kalau yang kurang bajetnya, di dewan-dewan orang ramai dan masjid pun ada, asalkan majlis boleh berlangsung … cukuplah.

Diyakini juga program dan majlis ini telah dirancang dengan begitu rapi sekali. Ada yang dirancang berbulan lebih awal hanya untuk menjanjikan bulan Ramadhan ini mereka tidak ketinggalan. Organisasi yang lewat mungkin tidak dapat mengadakan majlis ini kalau tak percaya tanyalah organisasi yang lewat ini. Maklumlah ada tiga puluh hari sahaja di bulan Ramadhan. Rumah-rumah anak yatim boleh dikatakan “Full House” sama pula macam panggung wayang yang menayangkan cerita ‘box office’.

Semuanya, boleh dikatakan berebut-rebut menganjurkan program untuk meraikan anak-anak yatim ini. Mereka diraikan dengan makanan yang enak-enak dan lazat, dicurahkan dengan pakaian dan kasut untuk menyambut Hari Raya yang bakal menjelang, ada yang dapat sampai 15 pasang baju melayu dan kasut, cukup sampai Hari Raya yang ke 15.

Dan tidak lupa yang paling penting duit hari raya yang kadang-kadang mencapai ratusan ringgit. Ada juga yang dihiburkan dengan nyanyian nasyid dan para pelawak yang mencuit hati, dengan harapan anak-anak ini berasa seronok dan gembira sekurang-kurangnya di bulan puasa ini.

Dengar cerita ada juga anak-anak yatim yang duduk di rumah anak yatim ini sampai 30 hari berbuka di luar.

Sekali pandang, hebat sungguh rakyat Malaysia ini, cukup perihatin dengan nasib yang menimpa anak-anak yatim ini, …sungguhlah tercapai jugalah keinginan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai Masyarakat Penyayang, pemimpin yang perihatin, badan koporat yang sentiasa menunaikan menunaikan tanggungjawab sosialnya.

Tetapi jika dua kali pandang macam ada yang tak kena…. Nak dikatakan salah meraikan anak-anak ini tak boleh pula, marah pula nanti Alim Ulamak dan mereka yang bersusah payah menganjurkan Majlis ini. Bermacam akan dikatakan antaranya ikut hukumlah dan ada pula nanti yang berkata … duit mereka, bajet mereka …. ikut suka merekalah, kamu tak kasihan ke pada anak-anak ini?? Macam mana nak jawab pulak. Betullah kata mereka.



Kalau tiga kali pandang pulak … memang sah ada yang tak kena…Ya lah.. contohnya bulan puasa ini 30 hari sahajakan, setahun ada 365 hari maksudnya ada 335 hari lagi…. Anak-anak yatim ini buat apa pulak. Tak nampak cerita pun di akhbar-ahkbar dan media elektronik tempatan macam bulan Ramadhan. Kalau ada pun … nun tersorok di mana-mana sampai susah nak baca …. sebab tak jumpa.

Ada ke tidak program atau majlis yang lain dari majlis meraikan dan sumbangan untuk anak-anak yatim ni?

Ada ke pula program dan majlis yang lain dari berbuka puasa untuk anak-anak yatim ini.?

Hairan juga, mana perginya semua masyarakat penyayang, pemimpin berjiwa rakyat, korporat yang perihatin tadi….yang berebut-rebut menganjurkan program untuk anak yatim ini.

Kalau tolong dan bantu anak-anak yatim selain dari bulan ramadhan tak dapat pahala kot…..


Samb…

Monday, September 22, 2008

SALAM PENGENALAN

1. Selamat datang ke blog saya, blog ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan pendapat antara satu sama lain. Tuan-tuan dan puan-puan sudah tentu boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan sebarang atikel dan tulisan yang diletakkan dalam blog ini. Perbincangan sihat mengenai idea dan pandangan amatlah dialu-alukan.

2. Sedikit pengenalan mengenai diri saya, lebih dikenali dengan gelaran UNCLE dikalangan teman-teman sekerja, para pelajar dan masyarakat setempat. Gelaran ini pun digunakan sebagai menghormati sahabat dan guru saya yang banyak mendidik saya dalam hal-hal mengenai pembangunan manusia dan pelajar. Mungkin ia tambah sesuai dengan keadaan fizikal rambut saya yang kelihatan tua sebelum waktunya.

3. Jika dirujuk pengalaman saya mengenai blog, sudah tentu amatlah kurang, namun ia bermula juga dengan nasihat dan pandangan serta cabaran kawan-kawan agar saya merakamkan pengalaman dan pandangan takkala masih berkhidmat untuk dikongsi bersama.

4. Saya berharap dapat belajar dari semua blogger yang singgah di blog ini sebagai salah satu usaha untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi pengetahuan.

Sekian, selamat datang dan jumpa lagi