1.Saya baru sahaja mengikuti satu program mengenai kesukarelawanan. Program ini diadakan pada 25 hingga 27 Disember 2008 yang lalu bertempat di Kem Perah, FRIM. Mengikut kebiasaan di hujung-hujung tahun sebegini saya dan sekeluarga selalunya akan mengambil peluang untuk bercuti panjang memandangkan cuti tahunan pun masih ada lagi. Tambahan pula, telah menjadi polisi organisasi yang mana cuti tak boleh dibawa ke tahun hadapan. Mahu atau pun tidak kena habiskan cuti juga.
2.Tapi kali ini, mungkin disebabkan kerisauan akan kesan-kesan kegawatan ekonomi, membuatkan saya terpikir untuk lebih berjimat pada tahun ini, bak nasihat orang lama-lama ‘sediakan payung sebelum hujan’. Akhirnya membuatkan saya lebih suka menghabiskan masa di Kuala Lumpur sahaja.
3.Berbalik kepada program kesukarelawanan ini, saya sebenarnya kagum dengan sikap dan semangat sebahagian pelajar yang sedang menuntut di IPT tempatan, pelajar IPT yang saya maksudkan kali ini ialah penuntut dari Kolej Sultanah Bahiyah, Universiti Malaya. Mereka ini acap kali menganjurkan program untuk anak-anak yatim dan kali ini mereka bercadang untuk menganjurkan program yang sama untuk kali ke 12. Ini merupakan satu kejayaan sebenarnya, jarang sekali saya lihat sesuatu program itu dijadikan sebagai program tradisi dan boleh mencapai umur 12 tahun. Satu pencapaian yang hebat. Lebih membanggakan lagi, terdapat juga pelajar senior dan bekas pelajar yang tinggal di kolej yang sama masih memberikan sokongan penuh mereka.
3. Kekaguman saya ini dirasakan bertempat juga kerana jika dikirakan peratus atau lebih tepat lagi nisbah para pelajar yang ingin menjayakan program sebegini sebenarnya amatlah kurang jika dibandingkan mereka yang tinggal di kolej yang sama adalah agak tinggi jumlahnya. Sebahagian besar dari mereka lebih mengutamakan pengajian mereka dengan mengelakkan diri dari menyertai mana-mana program yang boleh menganggu masa pengajian mereka. Hendak dikatakan mereka salah berbuat demikian sememangnya tidak adil dan tidak boleh saya pertikaikan, Ya memang benar jika mereka aktif melakukan kerja-kerja lain selain memberikan keutamaan pada pengajiaan mereka, sudah tentu ia menganggu, sebab merekalah yang akan menanggungnya jika mereka gagal dalam pengajian dan bukannya orang lain.
4.Namun begitu saya ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca semua, seorang sahabat yang sering melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawanan semasa di IPT, beliau pernah berbincang bersama mengenai hal ini, katanya dalam perjalanan kematangan seseorang dalam melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawanan ini, mereka akan melalui 3 fasa atau cabaran utama.
5.Cabaran yang pertama ialah semasa pelajar itu menuntut di IPT, ini bagi mereka yang berjaya masuk ke IPT lah, bagaimana mereka membahagikan masa untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang pelajar IPT yang mana mereka perlu menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan serta mengulangkaji pelajaran.
6.Kedua, cabaran yang akan mereka hadapi apabila mereka telah berjaya memperolehi ijazah ataupun diploma dan mula memasuki dunia ataupun alam perkerjaan. Penglibatan mereka dalam kerja-kerja kebajikan sudah tentu menjadi cabaran hebat, kekangan tanggungjawab di pejabat dan masa untuk meneruskan kerja-kerja kesukerelawanan. Kebiasaannya seseorang itu akan mula mengurangkan dan ada meninggalkan terus kerja kesukarelawanan ini.
7.Dan yang terakhir cabaran ke 3, ialah apabila mereka memasuki alam berkeluarga. Selalunya inilah merupakan kata putus dalam penglibatan sesorang dalan kerja-kerja kesukarelawanan ini. Dengan lahirnya sebuah institusi keluarga banyak perkara yang boleh mengekang seseorang itu untuk terus melibatkan diri. Tanggungjawab kepada isteri, anak dan kerja merupakan cabaran terbesar. Lazimnya dalam cabaran ini, penglibatan sesorang itu akan berhenti terus, mereka tahu betapa pentingnya keterlibatan mereka tapi selalunya tumpuan akan diberikan terus dalam menguruskan keluarga. Ada yang cuba untuk terus melibatkan diri tetapi jumlahnya agak kecil.
8. Perkara ini saya sentuh, untuk kita fikirkan bersama kerana dalam kita menetapkan keutamaan dalam kehidupan yang kita bina untuk masa depan kita, perancangan masa depan anak-anak, keselesaaan diri dan keluarga yang kita bina dalam bentuk harta dan bermacam-macam lagi. Ada juga segmen-segmen dalam masyarakat kita yang tidak boleh melakukan seperti apa yang kita rancang untuk diri dan keluarga kita. Kegagalan mereka merancang dan melaksanakannya untuk meningkatkan status penghidupan diri dan keluarga mereka kepada lebih baik mungkin bukan disebabkan kekurangan diri mereka atau mungkin atas sebab faktor-faktor lain yang tidak boleh dielakkan. Tapi yang jelas mereka adalah golongan yang mesti kita hulurkan tangan dalam apa jua bentuk sekalipun. Mereka perlukan dokongan dan sokongan, halatuju yang jelas dan keyakinan diri yang mantap dan harapan yang bertempat, dalam konteks pelajar UM ini, kumpulan sasar mereka adalah adalah anak-anak yatim.
9.Jika pelajar itu berjaya menetapkan keutamaannya, penglibatan mereka dan kerja-kerja kebajikan ini merupakan nilai tambah pada diri pelajar itu sendiri. Pembentukan perwatakan lebih baik lagi hasil kemahiran kemanusiaan yang mereka lalui dalam melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan ini membuatkan mereka menjadi pilihan dalam pemilihan untuk menjawat sesuatu jawatan apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
10.Hakikatnya, lebih ramai masyarakat yang melibatkan diri didalam kerja-kerja kesukarelawanan ini adalah lebih baik, sebab masih ramai lagi yang memerlukan. Saya percaya dan yakin ramai lagi pelajar-pelajar IPT di luar sana yang mempunyai semangat dan keinginan seperti penuntut di Kolej Sultanah Bahiyah Universiti Malaya. Ada juga yang sememang telah pun bergerak dan melakukan program berfaedah semasa di IPT, tetapi yang pasti kita perlukan lebih ramai lagi. Golongan sebegini sebenar boleh dibilang dengan jari. Cuba kita bayangkan dari 26 juta rakyat di Malaysia hanya sekelumit sahaja yang melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan ini. Banyak lagi segmen dalam masyarakat yang memerlukan manusia yang begelar sukarelawan ini. Hendak berharap pihak berwajib sahaja amatlah tidak bijak jika orang yang perlu dibantu itu berada di depan mata.
11.Tahniah, para sukarelawan.